Monday, 20 November 2017
Kampung Compass Points Current Affairs Exemplary II
Exemplary II PDF Print E-mail
Sunday, 27 December 2009 14:02
RidhuanTee

Picture / http://ridhuantee.blogspot.com/

Tuduhan penjahat lebih baik dari berjahat — Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Terbitan asal Mingguan Malaysia

 

DIS 27 — Sejak kebelakangan ini Utusan Malaysia menjadi mangsa kritikan dan kutukan dari dalam dan luar terutama parti ultra kiasu. Utusan dituduhkan akhbar yang mengapi-apikan sentimen perkauman yang boleh menggugat keharmonian kaum. Lebih ekstrim lagi, akhbar ini dilabelkan sebagai penjahat. Jika akhbar itu penjahat bermakna wartawan, kolumnis dan juga penulis akhbar ini juga penjahat. Persoalan saya, apakah akhbar tabloid parti ultra kiasu dan parti-parti politik perkauman lain dan mereka yang bersekongkol tidak jahat?


Parti ultra kiasu dan kuncu-kuncunya bukan sahaja jahat, tetapi terang dan nyata lagi berniat jahat dengan menolak kontrak sosial dan perlembagaan persekutuan serta mencabar perkara-perkara sensitif yang telah dipersetujui bersama sekian lama. Rakan sekutu parti ultra kiasu langsung tidak berani bersuara kerana takut hilang sokongan. Inilah strategi licik ultra kiasu dan sekutunya berselindung di bawah gagasan 1 Malaysia untuk mencari laba dan keuntungan politik.


Bila mereka tidak dapat apa yang dihajatkan maka gagasan 1 Malaysia akan dijadikan hujah mendapatkan simpati. Rakan-rakan perkauman mereka dalam komponen Barisan Nasional (BN) sebenarnya mempunyai pendirian yang sama. Mereka pandai berstrategi. Ultra kiasu menyalak di luar, di dalam rakan-rakan mereka menjalankan kerja. Mereka sebenarnya senada. Cuma kita masih terlepas pandang.


Saya tidaklah menyatakan bahawa Utusan Malaysia semuanya baik. Tidak ada sesuatu yang sempurna di dunia, kecuali Allah SWT dan RasulNya. Sebagai manusia, masih ada perkara-perkara yang perlu diperbaiki dari masa ke semasa. Ingatan saya kepada ultra kiasu, janganlah gajah depan mata tidak nampak, kuman seberang laut jelas kelihatan. Berpada-padalah dalam memberikan pandangan. Jangan asyik nampak kesalahan orang lain, tanpa muhasabah diri.


Apakah bersedudukan tanpa nikah itu tidak jahat? Apakah mengekalkan exco yang ternyata melakukan kejahatan itu tidak jahat? Sekurang-kurangnya Utusan Malaysia berterus-terang, bermakna tidaklah terlalu jahat, daripada berselindung melakukan kejahatan, di depan orang pijak semut tak mati, tetapi di belakang bukan main lagi, seolah-olah hidup ini tidak akan mati. Inilah tindak-tanduk mereka untuk mengaburi mata rakyat.


Kalau kita intip pergerakan mereka, saya yakin kita akan berjumpa dengan manusia yang sejahat ini, termasuk salah seorang exco yang membawa santa claus berjumpa pemimpin negeri mereka baru-baru ini. Kepada pemimpin tersebut, kalau suka sangat raikan santa claus, jangan sampai terlebih meraikan pulak. Sebagai umat Islam, kita diajar menghormati agama lain, tetapi elok berpada-pada. Mereka ini licik perancangannya. Ramai orang Melayu sudah tersasar kerana terlalu dekat dengan santa claus.


Tidak dapat dinafikan bahawa sejarah semua akhbar di negara ini memang dari awalnya bersifat perkauman. Begitu juga dalam bidang-bidang yang lain seperti politik, ekonomi dan sosial, semuanya perkauman. Pada saya, sayangkan bangsa atau kaum ini tidak salah, malah dibolehkan dalam Islam seperti yang dibahaskan oleh Ibnu Khaldun. Cuma yang tidak dibenarkan adalah apabila ia sampai ke tahap ultra, seperti mana parti ultra kiasu ini.


Mereka kerap membangkitkan isu-isu sensitif sehingga menimbulkan ketegangan. Keadaan ini lagi merbahaya, sebab ia boleh mencetuskan huru-hara sepertimana yang berlaku dalam peristiwa 13 Mei 1969.


Dalam memahami politik Malaysia, isu-isu perkauman dibangkitkan untuk mendapatkan sokongan politik dan pada masa untuk menyedarkan kaum masing-masing agar mereka sedar siapa mereka yang sebenar dan apa yang sepatutnya diperolehi.


Manakala isu-isu sensitif dibangkitkan untuk mendapatkan hak sama rata dan sama rasa bagi kumpulan ultra kiasu. Mereka tahu perkara ini tidak boleh dibangkitkan secara terbuka kerana ia boleh dikenakan tindakan di bawah akta hasutan. Mereka sengaja mahu menguji Umno yang ketika ini berada dalam keadaan agak tertekan disebabkan tidak mendapat majoriti dua pertiga dalam parlimen dan perpecahan Melayu Islam yang amat menyakitkan.


Misalnya, gerakan ultra kiasu mahu menyamaratakan agama Islam sebagai agama persekutuan dengan agama lain. Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti tahu bahawa konsep sama rata dan sama rasa tidak menepati kehendak perlembagaan persekutuan, walaupun konsep Malaysian Malaysia yang selalu dilaung dan didesak oleh parti ultra kiasu.


Ingat, agama Islam agama majoriti masyarakat negara ini. Kedudukan Islam begitu istimewa dalam perlembagaan. Jika ada “kelebihan” pada agama Islam, ia bukanlah satu diskriminasi kerana selaku majoriti, Melayu Islam berhak, apatah lagi ia telah dipersetujui melalui kontrak sosial. Tidak perlu dipertikaikan atau dituduh tidak adil. Termasuk menggunakan dana-dana kerajaan untuk mengembangkan syiar Islam.


Malangnya, perkara-perkara ini tidak pernah diformulakan. Akhirnya, setiap kaum atau parti menginterpretasikan mengikut kepentingan masing-masing mengikut latar belakang bangsa dan agamanya. Tidak ketinggalan perancangan jahat mereka.


Untuk mengelakkan daripada parti ultra kiasu ini menjadi bertambah jahat, setidak-tidaknya kita mesti menggariskan formula bagi menyelesaikan kejahatan ini. Formula saya adalah berasaskan kepada pecahan statistik agama dan bangsa di negara ini. Mengikut bancian tahun 2000, anutan agama rakyat Malaysia adalah seperti berikut 60.4 peratus Islam, 40 peratus bukan Melayu (22 peratus Buddha-Toaisme-Konfucius, 9 peratus Kristian, 6 peratus Hindu, 3 peratus lain-lain).


Formula ini boleh diaplikasikan dalam konteks kehidupan bernegara termasuk hak-hak beragama dan sambutan perayaan setiap kaum, bagi mendapatkan keadilan. Formula ini menepati sebahagian maksud keadilan dalam Islam yang membawa maksud meletakkan sesuatu pada tempatnya walaupun tidak sepenuhnya.


Atas dasar toleransi, formula ini boleh dikatakan langsung tidak diterima pakai, sama ada dalam bidang politik, ekonomi mahupun sosial. Misalnya, bilangan rumah ibadat bukan Islam melimpah ruah, perayaan mereka menenggelamkan perayaan orang Islam walaupun bilangan mereka sedikit.

Lihat sahaja gedung-gedung membeli belah, walaupun Kristian hanya 9 peratus, sambutan Krismas dan Tahun Baru 2010 menenggelamkan perayaan utama seperti hari raya dan tahun baru Islam. Kalau tidak percaya, lawatilah negeri-negeri yang diperintah ultra kiasu dan sekutunya serta gedung-gedung membeli belah sekutu mereka di seluruh negara.


Saya fikir, umat Islam di negara ini amat berlembut dan bertoleransi tinggi. Upacara perayaan keagamaan dan kematian begitu beradab serta mudah. Jalan raya tidak sesak. Kuburnya begitu kecil. Berbanding agama lain, sudahlah bilangannya kecil, kadangkala sehari suntuk jalan raya sesak ketika perayaan tertentu.


Kubur-kuburnya begitu luas dan besar. Sampai bilakah amalan ini boleh diteruskan, di kala penduduk semakin ramai, tanah semakin terhad? Setakat ini orang Islam tidaklah bising sangat berbanding orang lain, walaupun kubur mereka semakin terhimpit dan protes daripada bukan Islam yang semakin berani apabila ada tambahan tanah perkuburan Islam.


Formula yang saya sebutkan perlu dijadikan panduan. Adakah adil bila mana bilangan orang bukan Islam tidak ramai, tetapi kubur mereka menenggelamkan kubur orang Islam. Pernahkah kita bertanya pandangan orang Islam dan sensitiviti mereka? Mereka yang mempunyai wang akan membina kubur setinggi-tinggi dan seluas-luas serta secantik-cantik kubur dengan patung-patungnya yang didirikan saujana mata memandang.


Sedangkan kubur orang Islam, apa jua kedudukannya, kuburnya amat sederhana kerana Islam tidak percaya kepada rekabentuk kubur. Tiada kuburpun tidak ada masalah. Apa yang penting ialah iman dan takwa yang dibawa ke alam kubur atau barzakh. Pernahkah umat Islam menuntut sama rasa sama rata? Tidak, kerana mereka tidak ultra kiasu.


Contoh lain, seorang profesor Kristian di tempat kerja saya berhujah dengan saya baru-baru ini. Katanya, hak beragama mesti berasaskan formula sama rata sama rasa. Antara contoh yang diketengahkan ialah jika ada kelas baca yasin dan solat jumaat untuk pelajar-pelajar Islam, maka pelajar Kristian mesti diberikan hak yang sama untuk mempelajari agama mereka dan membawa paderi masuk.


Saya katakan kepada beliau, bacalah kitab masing-masing ketika itu, lagipun bacaan yasin dan solat jumaat bukanlah “kelas agama” ia adalah tanggungjawab individu Islam. Kalau ada kelas agamapun untuk orang Islam, tidak semesti orang bukan Islam sama keadaannya. Tambahan pula, bilangan pelajar Kristian atau bukan Islam amat sedikit bilangannya, cukup dengan kemudahan yang telah disediakan selama ini.


Profesor ultra kiasu ini dengan nada beremosi mengatakan itulah adalah hak mereka yang mesti ditunaikan. Saya jawab, apakah hak mereka selama ini tidak ditunaikan? Apakah bilangan gereja dan rumah ibadat yang berlambakan sehingga menenggelam bilangan masjid surau itu bukan hak? Apakah kita pernah menghalang mereka untuk ke gereja setiap hari ahad?


Jangan bandingkan dengan umat Islam kerana cara ibadat kita berbeza. Keperluan kita berbeza. Begitu juga dengan keperluan sembahyang jamaah. Justeru, konsep sama rata dan sama rasa hendaklah berasaskan formula yang telah digariskan dalam perlembagaan dan pecahan kaum (agama).


Selama inipun mereka tidak pernah menggunakan kalimah Allah di negara kita, kenapa secara tiba-tiba kalimah Allah hendak digunakan? Tidak lain dan tidak bukan adalah strategi jahat mereka untuk mengelirukan umat Islam supaya mengikut agama mereka.


Ingatan saya kepada ibu bapa, jagalah anak-anak kita, jangan sampai terpedaya dengan strategi jahat dan berjahat ini. Malangnnya inilah perkara yang telah dan akan berlaku di Selangor dan Pulau Pinang sekiranya kita biarkan ultra kiasu ini berkuasa dan bermaharajalela. Lihat Pulau Pinang hari ini seolah-olah bukan pulau Melayu lagi. Semuanya penuh dengan santa claus dan ucapan tahun baru, sedangkan mereka hanya ada 9 peratus.


Justeru marilah kita melakukan perubahan sebelum terlambat. Jangan akhirnya nanti agama kita merempat di bumi sendiri. Ketika itu sudah terlambat. Jangan biarkan kaduk naik junjung. Bila mereka sudah naik, mereka akan bertapak, selepas itu adalah terlalu sukar untuk mereka turun.

Lihat pula dalam toleransi politik. Terbaru, Gerakan begitu marah sekali dengan cadangan Umno agar kerusi pengerusi BN digilirkan di Pulau Pinang kerana Umno mempunyai kerusi majoriti. Belum apa-apa lagi kuncu-kuncu ultra kiasu sudah melompat. Sepatutnya bincanglah dahulu. Pengerusi Gerakan dan BN Pulau Pinang berkata, kerusi pengerusi BN telah disandang selama 35 tahun. Kenapa perlu diserahkan kepada orang lain?


Persoalan saya, jika Umno boleh korbankan kerusi parlimen Grik, kenapa tidak Gerakan? Siapakah yang lebih bertoleransi dan bersifat memberi? Ultra kiasu sungguh parti-parti politik berpusat di pulau ini. Dengan sebab itulah, mereka tidak kisah sangat siapa yang memerintah pulau, asal orang sendiri. Tidak banyak strategi dibuat untuk mengambil balik pulau tersebut. Itulah sebabnya saya dapat merasakan Umno tidak selesa keadaan ini.


Saya masih teringat, setelah sekian lama Umno bertanding di parlimen Grik, kawasan majoriti Melayu, tiba-tiba kerusi itu diserahkan kepada Gerakan. Bekas Menteri Besar Perak ketika itu menangis untuk melepaskan kerusi tersebut. Tetapi disebabkan oleh semangat setiakawan dan kerjasama dalam BN, Umno terpaksa tunduk dan patuh dengan menyerahkan kerusi Grik kepada Gerakan. Majoriti Melayu terpaksa mengundi bukan Melayu (Gerakan) walaupun pahit. Inilah sifat mulia Melayu Islam.


Adakah toleransi ini dihargai? Ibarat anjing menggigit tuannya, masihkah kita ingat bahawa ahli parlimen Grik Gerakan inilah yang mengeluarkan kenyataan bahawa Melayu itu juga adalah pendatang? Ahli parlimen ini jugalah yang dilantik sebagai timbalan menteri. Pernahkah kita dengar Umno berkata, sekian lama kita memegang kerusi parlimen Grik, kenapa kita perlu serahkannya kepada Gerakan, seperti nada yang diucapkan oleh pengerusi BN Pulau Pinang itu?


Kenapa Gerakan terlalu kuat menentang? Mereka takut selepas ini kerusi Ketua Menteri akan terlepas kepada Umno jika ditakdirkan BN memerintah semula. Pokok pangkalnya semua kuasa, kuasa, kuasa dan sikap ultra kiasu. Semua meletakkan kepentingan bangsa di hadapan bukannya kepentingan nasional.


Kalau inilah cara pembawaannya, saya fikir, gagasan 1 Malaysia terlalu jauh untuk dicapai. Ia hanya akan diperalatkan oleh mereka bersikap musang berbulu ayam dan gunting dalam lipatan. Pada mereka kuasa bangsa mesti dipertahankan walaupun apa jua alasan dan cabaran mendatang.

Persoalan saya, siapakah yang sebenar penjahat dan lebih jahat? — Mingguan Malaysia

 

NOTE

Malaysian Insider's observations: Don pushes racial line in 1 Malaysia

Dr Ridhuan Tee's blog can be reached here

Comments
Search RSS
Only registered users can write comments!
Shar101  - Yikes! |2009-12-27 15:43:53
Encik Kiasu-ness is in da building!

With UMNO, who needs BN.

And Ridhuan Tee exemplified (amplified?) the reasoning.

Btw the word exemplary has a dual interpretation i.e. deserving imitation because of excellence OR serving as a warning.

Will there be Exemplary III before the year is out.

rani  - fair |2011-07-03 10:24:13
Kenapa tak nmpak ahli akedemik mlayu memperkatakn isu yg begitu sensitif utk diketenghkan sebagaimana seorng cina islam yg terlalu praktikal dan realiti pmikirannya mengenengahkan isu yg sebegini.itulh satu bukti kbenran kata Dr. bhwa org melayu ni mudh betoleransi wlaupun keduduknnya bgitu trncam skrg ni.Nk didik org lain yg trlalu dapi-apikn emosinya olh puak kiasu ni memng satu tgas yg amt sukr melinkan apbla nasi dh jd bubur dn sama2 dah mnderita.
 

Your are currently browsing this site with Internet Explorer 6 (IE6).

Your current web browser must be updated to version 7 of Internet Explorer (IE7) to take advantage of all of template's capabilities.

Why should I upgrade to Internet Explorer 7? Microsoft has redesigned Internet Explorer from the ground up, with better security, new capabilities, and a whole new interface. Many changes resulted from the feedback of millions of users who tested prerelease versions of the new browser. The most compelling reason to upgrade is the improved security. The Internet of today is not the Internet of five years ago. There are dangers that simply didn't exist back in 2001, when Internet Explorer 6 was released to the world. Internet Explorer 7 makes surfing the web fundamentally safer by offering greater protection against viruses, spyware, and other online risks.

Get free downloads for Internet Explorer 7, including recommended updates as they become available. To download Internet Explorer 7 in the language of your choice, please visit the Internet Explorer 7 worldwide page.