Thursday, 28 March 2024
Kampung Compass Points Letters 50 Tahun ISA Penuh Kontroversi: Mansuh ISA Bukan Pinda
50 Tahun ISA Penuh Kontroversi: Mansuh ISA Bukan Pinda PDF Print E-mail
Monday, 27 December 2010 14:26

abm-logo-ISA350 TAHUN ISA

Pada 1 Ogos 2010 yang lalu maka genaplah 50 tahun Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). ISA digubal pada tahun 1960 dengan hujah ia diperlukan untuk menghadapi gerakan Komunis. Ketika penggubalannya, ISA disertakan mekanisme mengelak salah-guna termasuk “judicial review”, dan dengan janji ia akan digunakan untuk tujuan menghadapi ancaman bersenjata Komunis sahaja. Gerakan Komunis telah meletakkan senjata, tetapi ISA masih ada sehingga sekarang. Malah ia telah diperkasa dengan memansuhkan “judicial review” melalui pindaan pada tahun 1989. Ini menjadikannya lebih zalim dan kontroversi.


Hari ini Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) ingin berkongsi satu analisis tentang perkembangan ISA dan GMI sepanjang tahun ini supaya ianya dapat membantu dalam pengukuran sejauh mana kerajaan menggunakan ISA untuk kepentingan golongan pemerintah bukannya untuk keselamatan negara.

 

Tahun ini menyaksikan pindaan yang tidak menjadi-jadi,  peningkatan dalam penggunaan ISA, lawatan Working Group on Arbitrary Detention (WGAD) dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke Malaysia, kekalahan kes-kes bekas tahanan di mahkamah, penafian khidmat guaman kepada tahanan dan program GMI yang sering diganggu oleh polis dan kumpulan Pro ISA.

 

ISU 1: PINDAAN YANG MASIH DALAM PERSOALAN!

 

Memandangkan kritikan yang meluas dari dalam dan luar negara – penggunaan dan penyalahgunaan ISA telah memburukkan reputasi Malaysia di seluruh dunia – kerajaan akhirnya menjanjikan pindaan terhadap ISA. Namun sesuatu yang ketara ialah kerajaan tidak akan mudah melepaskan tongkat paling berkuasa ini.

 

Mereka sedang cuba bersungguh-sungguh menjual idea “pindaan” dan bukan “mansuh”. Mengambilkira sejarah ISA setakat ini, terdapat asas yang kuat untuk mengesyaki bahawa pindaan berkenaan akan berupa pindaan kecil dan hanya kosmetik. Ia tidak akan melakukan apa-apa untuk mencegah ketidakadilan berterusan dan pencabulan hak asasi manusia.

 

Kenyataan ini dikeluarkan oleh GMI sejak beberapa bulan lepas. Ternyata hari ini semakin benar apa yang disyaki.


Kajian ke arah meminda ISA dikatakan mengambil kira lima isu dan rang undang-undang pindaannya dijanji untuk dibentangkan di Dewan Rakyat sejak lebih setahun yang lalu tetapi sehingga kini tertangguh. Lima perkara asas tersebut ialah penahanan tanpa bicara, kuasa-kuasa menteri yang terlalu luas, tempoh tahanan, hak dan layanan terhadap orang tahanan dan isu persepsi awam ISA digunakan untuk kepentingan politik.

 

GMI ingin membawa perhatian semua sekali lagi kepada isu-isu yang terlibat dalam lima perkara yang dinyatakan oleh Kerajaan.

 

a)    Penahanan Tanpa Bicara (Detention without Trial)

Penahanan di bawah ISA tidak disokong dengan semakan mahkamah yang efektif. Mahkamah hanya membenarkan tahanan untuk mencabar penahanan mereka secara teknikal iaitu habeas corpus. Mereka tidak boleh mencabar penahanan mereka dari aspek tuduhan yang dikenakan ke atas mereka. Penahanan tanpa bicara tidak boleh digunakan ke atas sebarang kesalahan jenayah kerana undang-undang sedia ada di bawah Kanun Keseksaan sudah memadai untuk digunakan ke atas tuduhan-tuduhan yang sering digunakan ke atas tahanan ISA.


b)   Kuasa Menteri (Powers of Minister)

Kuasa menteri untuk menahan tahanan ISA selama 2 tahun dan selanjutnya adalah sesuatu yang memberikan kuasa yang terlalu luas kepada Menteri. Sekaligus ianya dengan jelas menunjukkan bahawa Menteri tidak menghormati proses mahkamah dan kuasa Eksekutif. Ini juga mencemar prinsip pengasingan kuasa di antara Eksekutif dan Kehakiman.


c)   Tempoh Penahanan (Detention Period)

Tempoh penahanan selama 60 hari adalah satu tempoh yang selalunya digunakan oleh pihak Special Branch untuk mendera dan menyeksa tahanan tanpa sebarang belas kasihan. Penindasan dan penderaan digunakan dalam soal siasat. Seseorang sepatutnya ditahan dengan adanya bukti terhadap mereka dan sekiranya pihak polis gagal untuk menujukkan bukti terhadap maka seseorang itu seharusnya dibebaskan. Tiada seorang pun berhak untuk ditahan selama 60 hari tanpa sebarang perbicaraan ataupun proses mahkamah.


d)   Hak dan layanan terhadap orang tahanan (Rights and Treatment of ISA Detainees)

GMI dan SUARAM telah mendokumenkan pelbagai jenis penderaan dan penyeksaan yang dilakukan terhadap tahanan ISA. Dalam tempoh 60 hari penahanan, tahanan selalunya tidak diberikan peluang untuk mendapatkan peguam. Malah, ada juga insiden di mana tahanan tidak diberitahu hak mereka semasa ditahan. Mereka diseksa dan didera atas nama penyiasatan. Ini tidak termasuk seksaan mental ke atas tahanan dan keluarga.


e)   Isu persepsi awam ISA digunakan untuk kepentingan politik (Perception of Abuse)

Seperti yang sedia maklum, ISA selalunya digunakan ke atas individu yang tidak menyokong polisi kerajaan, aktivis, parti politik pembangkang dan mana-mana individu yang mengkritik kerajaan.

GMI percaya bahawa sebarang pindaan terhadap kelima-lima perkara di atas tidak akan membawa sebarang makna kerana kelima-lima aspek ini adalah antara yang ”membenarkan” parti pemerintah untuk terus memerintah. Mungkin atas sebab itu, terdapat desas desusu mengatakan hanya tempoh penahanan akan dipinda daripada 60 hari kepada 30 hari. Isu persepsi awam terhadap ISA hanya boleh ditangani dengan pemansuhan ISA, tindakan siasatan profesional Polis, kewujudan semakan mahkamah dan pendekatan serta sikap yang lebih prihatin keadilan dan hak asasi manusia tanpa menjejaskan keselamatan negara.


ISU 2: PENAHANAN TERKINI DAN PENGGUNAAN ISA DIPERLUASKAN LAGI

 

Pada tahun ini penggunaan ISA telah diperluaskan dan semakin ramai yang ditahan. Seperti biasa penahanan kebanyakan daripada mereka dirahsiakan.

 

Mengikut pemantauan GMI, pada tahun ini seramai 25 orang telah ditahan di bawah ISA (Sila Lihat Lampiran 1) berbanding dengan tahun 2009 yang hanya menyaksikan sebanyak 7 penahanan di bawah ISA.

 

Tahun ini bermula dengan penangkapan beramai-ramai pada 21 Januari 2010 di Sungai Cincin, Gombak semasa mereka menghadiri kuliah agama. Pada awalnya seramai 50 orang ditahan tetapi hanya 10 sahaja yang ditahan di bawah Seksyen 73 ISA selama tempoh 60 hari. Rumah tersebut telah dirempuh masuk oleh Unit Tindakan Khas Polis menggunakan kekerasan dan senjata. Kelihatannya, menjalankan kuliah agama boleh ditafsir sebagai mengancam keselamatan negara dan pasukan keselamatan besar mesti dikerahkan.


Daripada 10 yang ditahan hanya seorang sahaja merupakan warga negara Malaysia dan yang lain merupakan pelajar Sarjana dan PhD dari Syria, Nigeria, Jordan dan Yaman. Mereka ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan keganasan antarabangsa yang sehingga kini belum dibuktikan. 9 warga asing telah dihantar semula ke negara asal mereka tanpa mereka menghabiskan pelajaran mereka.


Penggunaan ISA turut diperluaskan. Senarai mangsanya semakin bertambah.  Kebelakangan ini ia telah digunakan untuk menahan mereka yang disyaki terlibat dalam pemerdagangan manusia (Human trafficking). Ianya dapat dilihat apabila seramai 8 orang pegawai imigresen warganegara Malaysia dan 2 lagi warga asing  ditahan di bawah ISA pada 13 Oktober 2010. Ianya mengejutkan ramai orang apabila kerajaan menggunakan ISA ke atas mereka sedangkan satu undang-undang khas untuk memerangi pemerdagangan manusia sudahpun digubal. Persoalan mengapa kerajaan menggunakan ISA ke atas mereka masih belum dijawab. Malah, kami juga tertanya-tanya, kali ini ISA digunakan untuk melindungi siapa?


Malah, baru-baru ini kami mendapat tahu bahawa ibu kepada salah seorang pegawai imigresen berbangsa Cina yang ditahan di Kamunting telah meninggal dunia akibat kanser. Akibat penahanan di bawah ISA, tahanan tersebut hanya sempat melihat muka ibunya semasa upacara pengebumian.


Setiap kali penahanan baru, GMI dan para peguam akan menghadapi pelbagai masalah untuk berjumpa dengan tahanan. Khususnya, peguam telah menghadapi masalah daripada pihak polis untuk berjumpa dengan anak guam mereka. Walaupun berkali-kali surat dihantar untuk berjumpa dengan tahanan, pihak polis tidak memberikan respon yang baik.

 

Malah, pihak polis sering bermain talam dua muka apabila ditanya oleh pihak media, mereka kata akan benarkan peguam berjumpa tahanan tetapi apabila pihak peguam mahu berjumpa dengan tahanan, pihak polis pula menafikan segala janji mereka dan akhirnya tidak membenarkan sebarang perjumpaan. Kebanyakan tahanan warga asing dihantar semula ke negara mereka tanpa mendapatkan khidmat peguam.


ISA sudah menjadi akta pilihan dan jalan mudah menggantikan amalan profesionalisme polis seperti risikan dan penyiasatan yang teliti. Bukan sahaja tidak profesional malah sebab dan kaedah penahanan serta soal-siasat melanggar hukum agama dan kemanusiaan. Ianya diselubungi kontroversi. Setiap penahanan di bawah ISA adalah kegagalan polis menjalankan tanggungjawabnya memperoleh maklumat untuk diserahkan kepada Pendakwaraya bagi tindakan selanjutnya. Proses keadilan yang terhenti setakat polis dan Kementerian Dalam Negeri adalah suatu kezaliman dan penganiayaan menurut apa jua neraca. Satu lagi kontroversi.


2.1 Pembebasan Tahanan dan Tahanan di Kamunting

Pada tahun ini juga menyaksikan pembebasan seramai 15 orang dari penahanan ISA (Sila Lihat Lampiran 2). Antara pembebasan yang amat mengharukan adalah pembebasan Samsudin Sulaiman pada 2 September 2010. Beliau yang ditahan sejak 2002, merupakan antara tahanan yang terakhir dibebaskan dalam kumpulan yang ditahan tahun 2002. Beliau kini berada di bawah Akta Kediaman Terhad (RRA) selama 2 tahun di Johor.


Selain daripada itu, 10 orang warga asing yang ditahan pada 21 Januari 2010, telah dihantar pulang ke negara mereka tanpa sebarang perbicaraan dan khidmat peguam. Kami hanya menerima berita bahawa kedua-dua warganegara Nigeria telah dibebaskan kerana bukti yang tidak mencukupi terhadap mereka. Manakala, yang lain pula tiada sebarang berita.


Manakala, Mas Selamat Kastari yang ditahan di bawah ISA pada 1 April 2010 juga telah dibebaskan daripada ISA dan dihantar semula ke Singapura pada 24 September 2010.


Maka, sepanjang pemantauan kami sehingga hari ini kami mendapati bahawa seramai 25 orang masih ditahan di Kamunting. Angka ini mungkin berlebihan dan ianya mungkin tidak termasuk mereka yang mungkin ditahan di bawah seksyen 73 (Sila Lihat Lampiran 3).


ISU 3 : KENYATAAN-KENYATAAN BERKENAAN ISA

 

Sepanjang tahun ini, terdapat beberapa pemimpin kerajaan dan kumpulan Pro-ISA yang mengeluarkan kenyataan tentang ISA. Tahun ini bermula dengan kenyataan  tidak bertanggungjawab yang dikeluarkan pada 8 Januari 2010[1] oleh Ketua Polis Negara pada ketika itu iaitu Tan Sri Musa Hassan dan Menteri dalam Negeri iaitu Dato’ Seri Hishammudin Hussein bahawa mereka tidak akan teragak-agak menggunakan ISA ke atas mereka yang bertanggungjawab dalam kebakaran 3 gereja di Lembah Kelang yang terjadi berikutan protes terhadap penggunaan istilah Allah oleh orang bukan Islam.


Pada 30 Januari pula[2], Perdana Menteri Najib Tun Razak mengeluarkan kenyataan bahawa, 10 orang yang ditahan di bawah ISA pada 21 Januari 2010 kerana disyaki terlibat dalam keganasan antarabangsa, adalah perlu untuk membendung kegiatan keganasan di dalam dan di luar Malaysia. Malah, ianya adalah komitmen kerajaan Malaysia dalam memerangi keganasan.


Pada 11 Mei 2010[3],satu kenyataan telah dikeluarkan oleh Ketua CID Sarawak CID, SAC II Huzir Mohamed, di mana beliau mengugut menggunakan ISA ke atas mana-mana pihak khasnya pembangkang sekiranya mereka membawa isu penggunaan kalimah Allah semasa kempen pilihan raya kecil di Sibu, Sarawak.

Manakala, pada 9 Ogos, PERKASA (Kumpulan NGO Melayu) telah membuat laporan polis terhadap seorang penganaliisa politik negara dan kolumnis Helen Ang kerana menulis artikel yang bertajuk “Enforcing NEP on minority religions”. Malah, PERKASA meminta kerajaan untuk menggunakan ISA terhadap Helen[4].

PERKASA sekali lagi, mengeluarkan kenyataan pada 22 Ogos 2010,  untuk menggunakan ISA ke atas Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek[5], kerana mempersoalkan 30% ekuiti kaum Bumiputera.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz pula telah mengeluarkan kenyataan pada 30 November 2010 bahawa,[6] ISA amat diperlukan untuk menjaga keselamatan Negara dan ISA merupakan satu instrumen yang penting untuk memerangi ancaman pengganas dan keganasan.


Satu lagi kenyataan yang terkini ialah apabila ketua undang-undang UMNO Datuk Mohd Hasfarizam Harun mencadangkan agar ISA digunakan ke atas Presiden Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Datin Seri Dr. Wan Azizah kerana beliau persoalkan istilah “ Ketuanan Melayu” yang diagung-agungkan oleh UMNO.


Segala kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak-pihak yang Pro ISA ini menunjukkan bahawa ISA adalah satu alat politik yang senang untuk menggugut dan menakut-nakutkan dan digunakan ke atas mana-mana pihak yang mempersoalkan UMNO ataupun kerajaan.

ISU 4: MAHKAMAH MALAYSIA MASIH GAGAL LAGI DALAM MELINDUNGI MANGSA PENDERAAN!

 

Mahkamah Malaysia sekali lagi gagal dalam melindungi dan memberikan keadilan kepada mangsa penahanan ISA yang telah membawa kes mereka sehingga ke Mahkamah.

 

Pada bulan Januari kita dapat menyaksikan bagaimana habeas corpus yang difailkan oleh 10 tahanan ISA yang ditahan di Sg Cincin, telah dinafikan hak perbicaraan mereka dan hak untk mendapatkan satu keadilan menerusi mahkamah. Sembilan daripada mereka adalah warganegara asing dan mereka semua telah dihantar pulang sebelum keputusan habeas corpus mereka didengar di Mahkamah. Malah, satu-satunya warganegara Malaysia iaitu Azzahari Bin Murad pula diletakkan di bawah Akta Kediaman Rasmi sehari sebelum permohonan habeas corpus didengar. Akibat perbuatan mala fide kerajaan dan polis, maka permohonan habeas corpus mereka menjadi akademik.

Dalam keadaan mahkamah gagal menjalankan tugas sebagai pendukung keadilan, namun satu-satunya berita baik yang diterima dalam tahun ini adalah berkenaan bekas tahanan ISA Badrul Zaman P.S. Mohamed  yang menerima RM 3.3 juta apabila pada 11 Jun 2010, Mahkamah Persekutuan memerintahkan bahawa penahanan Badrul Zaman di bawah ISA adalah menyalahi undang-undang dan Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus dalam penghakimannya berkata mahkamah telah mempertimbangkan kos kecederaan terhadap reputasi plaintif dengan memerintahkan untuk membayar tuntutan ganti rugi am dan teladan dengan kos kepada beliau.

 

Semasa Badrul Zaman menghargai kemenangannya, seorang bekas tahanan ISA iaitu Abdul Malek Hussin pula terpaksa menghadapi berita buruk dimana Mahkamah Persekutuan mengenepikan permohonannya untuk mendapatkan gantirugi sebanyak RM2.5 juta yang dianugerahkannya oleh Mahkamah Tinggi pada tahun 2007 kerana bersetuju dengan penghujahannya bahawa penahanannya itu adalah salah. Ibarat jatuh ditimpa tangga, selain menolak gantirugi itu, Abdul Malek juga diarahkan membayar RM20,000 sebagai kos kepada ketiga-tiga responden.

 

Sebelum ini, rayuannya kepada Mahkamah Rayuan pada Mac lalu juga ditolak dan dia diarahkan membayar RM50,000 sebagai kos litigasi. Sepanjang tahanan itu, Abdul Malek didera secara mental dan fizikal. Malah dia mendakwa pernah dipaksa minum air kencing -- dan kini dia terpaksa membayar RM70,000 kepada orang yang bertanggungjawab menderanya.


 

Mahkamah Malaysia sering gagal dalam tugasnya kerana campurtangan pihak Eksekutif dalam semua kes-kes yang berkaitan dengan ISA dan semua undang-undang tahan tanpa bicara.

 

ISU 5: Rakyat Bersama Mansuhkan ISA

 

Desakan dan tuntutan rakyat amatlah penting untuk kerajaan memansuhkan undang-undang zalim ISA. Sokongan dan dokongan daripada semua organisasi dan lapisan masyarakat amatlah penting, tidak kira pegangan politik, agama mahupun bangsa. Himpunan Mansuh ISA yang telah dilaksanakan pada 1 Ogos 2009 menjadi saksi kepada betapa pentingnya desakan rakyat.


Atas dasar itu, GMI  meneruskan kempen menggembeleng rakyat untuk menentang ISA. Sempena 50 tahun ISA pada tahun ini GMI telah mengadakan beberapa siri program. Antaranya ialah seperti berikut:

1.      28 Januari : Sidang Akhbar untuk mengutuk penangkapan pertama dalam tahun 2010 di Sg.Cincin.

2.      28 Januari: Perjumpaan dengan Timbalam Menteri dalam Negeri yang hanya mendapatkan pandangan berkenaan pemindaan ISA

3.      19 Februari: Memo kepada SUHAKAM berkenaan penangkapan terbaru dan memohon bantuan SUHAKAM dalam isu ini.

4.      22 Februari: Memo kepada IGP berkenaan kegagalan polis untuk membenarkan perjumpaan peguam dengan tahanan.

5.      8 Mac: Sidang Akhbar bersama oleh GMI dan Majlis Peguaml yang menuntut khidmat guaman kepada tahanan-tahanan yang ditahan di Sg. Cincin pada 21 Januari.

6.      11 Mac: Sidang akhbar untuk menolak sebarang pindaan terhadap ISA dan menuntut ISA dimansuhkan.

7.      17 Mac: Pusat Sokongan Keluarga (GMI) mengadakan satu sidang akhbar di Parlimen bagi menuntut kerajaan membebaskan suami mereka yang ditahan pada 21 Januari dan sekaligus menyediakan bantuan kepada keluarga tahanan.

8.      17 April: Menyertai dalam pengedaran risalah di Pilihan Raya kecil Hulu Selangor dan menyertai dalam ceramah umum.

9.      9 hingga 12 Jun: Menjalankan kempen tandatangan untuk menyokong kebebasan tahanan 8 tahun, Samsudin Sulaiman dari Kamunting. Ianya diadakan di Muktamar PAS.

10.  15 Jun: Perjumpaan GMI, SUARAM dan mangsa tahanan ISA,EO dan DDA bersama dengan Working Group on Arbitrary Detention (WGAD) yang  pertama kali datang ke Malaysia selepas pelbagai desakan daripada GMI dan SUARAM. Pada akhir lawatan mereka, WGAD mencadangkan kepada kerajaan Malaysia agar Mansuhkan segala undang-undang tahan tanpa bicara seperti ISA, EO dan DDA serta menghapuskan Akta Kediaman Terhad yang sudah lapuk.

11.   22 Jun: Perjumpaan dan sesi penerangan tentang ISA kepada ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

12.  24 Julai : Malam Seni Tanpa Bicara, di Dewan Serbaguna MBPJ anjuran bersama GMI dan Adun Kota Damansara, YB Dr. Nasir Hashim.

13.  27 Jun: , Mesyuarat Tahunan bersama ahli Gabungan.

14.   26 Julai: Sidang Akhbar untuk mengumumkan Vigil serentak sempena 50 tahun ISA di Malaysia.  1 Ogos: Pengedaran risalah pada 1 Ogos 2010 serentak di sekitar Ibu Negeri seluruh negara

15.  1 Ogos : Berjaya mengadakan vigil serentak di beberapa negeri di Malaysia iaitu : Petaling Jaya (Selangor), Kedah, Kelantan, Perak, Seremban (Negeri Sembilan), Sabah, Sarawak dan Johor.

16.  12 Ogos: GMI bersama dengan SUARAM telah menghantar memorandum kepada SUHAKAM berkenaan keganasan dan initimidasi polis diseluruh Negara pada 1hb Ogos di seluruh Negara.

17.  Pada 3 September: GMi telah mengadakan mesyuarat bersama dengan wakil-wakil dari GMI bahagian UK.

18.  27 Oktober : 23 tahun selepas Ops Lalang, pelancaran buku 'Beyond The Blue Gate' dan '445 days under the ISA'.

19.  21 November: Forum ISA di Penang, dikacau oleh kumpulan Pro ISA dan pemuda UMNO .

20.  22 Disember: Sidang Akhbar, untuk mengumumkan satu tahun isu ISA di Malaysia.

 

Sokongan Antarabangsa

1.      Penubuhan GMI UK oleh warganegara Malaysia yang tinggal di UK. Mengadakan program dan bantahan berterusan setiap bulan di hadapan pejabat Pelancongan Malaysia di UK.


2.      Sokongan padu daripada OMCT (World Against Torture), AI (Amnesty International),  HRW (Human Rights Watch), IHRC (Islamic Human Rights Commission, UK), International Bar Association's Human Rights Institute (IBAHRI)

Tuntutan Rakyat

2010 merupakan satu lagi tahun yang penuh cabaran dalam perjuangan menentang ISA. GMI tidak sekali-kali akan tunduk kepada isu prinsip yang melibatkan penahanan tanpa bicara. Akta-akta yang telah mendera, menindas dan menyeksa rakyat tidak harus dikekalkan dan dipuja malah ianya harus dibuang dengan serta-merta.


GMI mengajak dan menyeru rakyat dan anggota dalam gabungannya menyokong tuntutan berikut. GMI berazam untuk meneruskan kempen mansuhkan ISA, bebaskan tahanan dan tutup Kem Kamunting menjelang tahun baru 2011. Harapan masa depan negara terletak kepada rakyat yang cintakan keadilan dan kebenaran serta berani memperjuangkan prinsip-prinsip tersebut.


Kami dengan ini menuntut Kerajaan Malaysia untuk:

1.    MANSUHKAN undang-undang zalim seperti ISA, EO, DDA dan RRA dengan serta merta. Kesemua undang-undang ini melanggar semangat Perlembagaan Negara dan Artikel 9, 10 dan 11 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) 1948 serta Artikel dalam Deklarasi Islam Hak Asasi Manusia Sejagat (UIDHR) 1981. Seruan ini adalah bersamaan dengan seruan UN Working Group on Arbitrary Detention (WGAD), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan badan-badan hak asasi yang lain seperti Amnesty International (AI), Human Rights Watch (HRW), World Organisation Against Torture (OMCT), dan Islamic Human Rights Commission (IHRC).


2.    Bebaskan atau mendakwa kesemua tahanan yang ditahan tanpa bicara di Mahkamah yang bebas dan terbuka.

 

3.    Segera menutup tempat penahanan tanpa bicara seperti Kem Tahanan Kamunting dan Simpang Renggam

 

4.    Setiap tahanan harus diberikan pampasan oleh kerajaan Malaysia akibat merampas kebebasan dan hak tahanan yang tidak pernah dibicarakan di mana-mana mahkamah.

 

5.    Memohon maaf kepada semua tahanan – dulu dan sekarang – yang ditahan tanpa bicara, dan memperuntukkan pampasan bagi kesengsaraan, penderitaan dan ketidakadilan ke atas mereka.

 

6.    Menggunakan undang-undang yang terdapat dalam Kanun Keseksaan untuk tuduhan jenayah seperti berikut

a)    Section 489B Penal Code: Pemalsuan duit  (counterfeiting money);

b)    Section 56 Immigration Act: Pemalsuan pasport (falsifying passports);

c)    Section 298A Penal Code: Menyebarkan isu atau  khabar angin yang melibatkan agama  (religious hatred);

d)    Section 499 Penal Code: Menyebarkan isu melibatkan kaum (racial hatred);

e)    Section 499 Penal Code:  menyebarkan maklumat yang salah (false news); dan

f)     Chapter VIA of Penal Code: yang berkaitan isu pengganas (terrorist offences).

 

7.    Menyiasat semua aduan dan kes penganiayaan, penyeksaan, tindakan tidak berperikemanusiaan serta salahguna kuasa terhadap penahanan terdahulu dan sekarang serta mendakwa pelaku termasuk menubuhkan Suruhanjaya DiRaja bagi melakukan siasatan.

 

8.    Membahaskan laporan tahunan SUHAKAM di Parlimen dan melaksanakan syor yang dikemukakan.

 

9.    Memperakui, menghormati dan mengembalikan kuasa yang ada dalam badan kehakiman sebagai badan yang bebas untuk menyemak kuasa badan eksekutif dan polis, termasuk memansuhkan undang-undang yang telah menyingkirkan ruang semakan mahkamah terhadap keputusan dan tindakan badan eksekutif.

Dikeluarkan Oleh,

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI)

 

 

Nota:

http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/1/8/nation/20100108105729&sec=nation

http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/1/30/nation/5582041&sec=nation

http://forum.lowyat.net/topic/1419592

http://freemalaysiatoday.com/fmt-english/politics/barisan-nasional/8991-perkasa-wants-columnist-to-be-put-under-isa

http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/perkasa-mpm-want-soi-lek-arrested-under-isa

http://www.mmail.com.my/content/56374-isa-detention-down-30-days

Comments
Search RSS
Only registered users can write comments!
Last Updated on Monday, 27 December 2010 14:53
 

Your are currently browsing this site with Internet Explorer 6 (IE6).

Your current web browser must be updated to version 7 of Internet Explorer (IE7) to take advantage of all of template's capabilities.

Why should I upgrade to Internet Explorer 7? Microsoft has redesigned Internet Explorer from the ground up, with better security, new capabilities, and a whole new interface. Many changes resulted from the feedback of millions of users who tested prerelease versions of the new browser. The most compelling reason to upgrade is the improved security. The Internet of today is not the Internet of five years ago. There are dangers that simply didn't exist back in 2001, when Internet Explorer 6 was released to the world. Internet Explorer 7 makes surfing the web fundamentally safer by offering greater protection against viruses, spyware, and other online risks.

Get free downloads for Internet Explorer 7, including recommended updates as they become available. To download Internet Explorer 7 in the language of your choice, please visit the Internet Explorer 7 worldwide page.