Friday, 29 March 2024
Kampung Compass Points Current Affairs Kalau 35% untuk Borneo,.....
Kalau 35% untuk Borneo,..... PDF Print E-mail
Sunday, 23 April 2023 14:42

 

Kalau 35% untuk Borneo, berapa jumlahnya ahli Parlimen?
TIADA asas Perlembagaan untuk menaikkan peratusan ahli Parlimen Borneo daripada 25 peratus kepada 35 peratus sedangkan peratusan pengundinya kurang daripada 16 peratus.
Oleh Wong Chin Huat | Utusan Malaysia | 21 April 2023

https://www.utusan.com.my/premium/2023/04/kalau-35-untuk-borneo-berapa-jumlahnya-ahli-parlimen/

 

 

DALAM keghairahan parti-parti Sarawak dan Sabah mendesak sebanyak 35 peratus kerusi di Dewan Rakyat dikhaskan untuk Borneo dan kesenyapan parti-parti lain sama ada bersetuju ataupun tidak berani berlainan pendapat, soalan yang perlu ditanya oleh rakyat ialah berapa ramai ahli Parlimen yang kita ingin membayar gaji dan pencen setiap tahun?

 

Kini Dewan Rakyat mempunyai 222 orang Ahli Parlimen, 57 atau 25.6 peratus mewakili 15.8 peratus pengundi di Borneo yakni Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Secara puratanya, mengikut jumlah pengundi semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), setiap kawasan Parlimen Borneo mempunyai 41,520 pengundi sedangkan setiap kawasan Parlimen Semenanjung sebanyak 76,206 pengundi atau 1.83 kali jumlah di Borneo.

Jika jumlah 222 tidak bertambah, desakan 35 peratus untuk Borneo hanya boleh dicapai dengan mengalihkan 21 kerusi dari Semenanjung ke Borneo, purata pengundi di Borneo akan menurun kepada 30,342 sedangkan purata pengundi di Semenanjung akan meningkat kepada 87,319 atau 2.87 kali purata di Borneo.

Kerana ini mustahil diterima, desakan Borneo ini hanya boleh dipuaskan dengan menambahkan kerusi di Borneo. Jika tiada kerusi di tambah di Semanjung, maka ini boleh dipuaskan dengan tambahan 32 kerusi, sampai ke jumlah baru 89 di Borneo dan 254 untuk seluruh Malaysia.

Akan tetapi, jika negeri-negeri Semenanjung juga ingin ditambah kerusi, untuk setiap dua kerusi tambahan di Semenanjung, satu kerusi mesti ditambah lagi untuk Borneo selepas 32 kerusi tambahan tadi. Jika kedua-dua Semenanjung dan Borneo inginkan tambahan kerusi yang sama, maka Dewan Rakyat akan menjadi sebesar 360 ataupun 62 peratus lebih besar daripada sekarang.

Pendesak-pendesak 35 peratus tidak boleh mendesak sekadar jumlah itu perwakilan dalam Parlimen.

Mereka perlu beritahu kita berapa jumlah ahli Parlimen yang mereka kehendaki, sama ada 254, 360 atau mana-mana jumlah yang lain.

Untuk setiap ahli Parlimen, rakyat membayar elaun asas bulanan sebanyak RM 16,000 dan sekitar RM 9,000 untuk elaun-elaun lain. Belum kira lagi pencen yang mungkin dibayar berdekad-dekad.

Kalau nak ditambahkan bilangan kakitangan, sudah pasti bos berhak mengetahui apa jumlah kakitangan yang akan diupah, bukan sekadar berapa kuota untuk golongan mana.

LUPUT
Dalih bahawa desakan 35 peratus mempunyai asas perlembagaan itu adalah satu mitos yang perlu ditangkis.

Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak menyebut tentang peruntukan sepertiga kerusi Parlimen untuk Sarawak, Sabah dan Singapura memegang kuasa veto pindaan Perlembagaan.

Perwakilan berlebihan (over-representation) untuk negeri-negeri Borneo – 40 daripada 159 kerusi Parlimen, iaitu 25.2 peratus – memang termaktub dalam perenggan 19(2), Laporan Jawatankuasa Antara-Kerajaan (IGC) 1962 yang menjadi asas kepada MA63.

Akan tetapi, negeri-negeri Borneo tidak dikategorikan bersama Singapura untuk membentuk blok veto satu per tiga seperti yang didakwa oleh pejuang hak Borneo.

Malah, kuota 25.2 peratus itu dijanji dikekalkan untuk tujuh tahun selepas pembentukan Malaysia, iaitu sudah luput pada 16 September 1970.

Tiada asas Perlembagaan untuk menaikkan peratusan ahli Parlimen Borneo daripada 25 peratus kepada 35 peratus sedangkan peratusan pengundinya kurang daripada 16 peratus. Desakan ini jika diterima tergesa-gesa akan mengancam kestabilan politik malah keutuhan wilayah Malaysia dalam tempoh 10 hingga 20 tahun.

Prinsip demokrasi bahawa setiap undi mesti bernilai sama ada asas realistiknya.

Ia bukan saja menjamin kesamarataan dalam kalangan rakyat, tetapi juga mengelakkan ketidakstabilan akibat kerajaan bermajoriti di Parlimen tidak bermajoriti di masyarakat.

Dengan 35 peratus kerusi Parlimen untuk 16 peratus pengundi, sebuah kerajaan mungkin memegang majoriti kukuh di Parlimen sungguhpun memenangi cuma undi minoriti, mungkin sekitar 35 hingga 40 peratus dalam pilihan raya. Bukankah ini akan mengundang kelam kabut dalam politik?

Kalau alasan untuk menuntut 35 peratus ialah bagi mendapatkan sumber untuk membina Menara Kembar Petronas atau Lebuhraya PLUS versi Borneo, penyelesaiannya ialah pemencaran kuasa atau desentralisasi.

Kalau tujuannya untuk benar-benar dapatkan kuasa veto, penyelesaiannya ialah menuntut reformasi Dewan Negara supaya dipilih langsung oleh rakyat dan 35 peratus daripada kerusinya diberikan kepada Sarawak, Sabah dan Labuan.

Dalam negara-negara persekutuan, negeri-negeri kecil atau istimewa (seperti Sarawak dan Sabah) memang boleh diberi perwakilan berlebihan malah kuasa veto tetapi itu hanya di Dewan Negara yang berfungsi sebagai brek, bukan di Dewan Rakyat yang menentukan pembentukan kerajaan dan berfungsi sebagai pedal minyak.

Kerajaan negeri-negeri Semenanjung, tidak kira di bawah Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) mesti cergas menjaga hak rakyat Semenanjung dan keutuhan Malaysia. Pengagihan kerusi Parlimen antara negeri mesti melibatkan kesemua 13 negeri.

Kerajaan Persekutuan mewakili seluruh Malaysia, bukan lagi Kerajaan Tanah Melayu sebelum 1963.

Dan oleh itu tidak berhak menentukan konsensi hak rakyat Semenajung dalam perundingannya dengan Sabah dan Sarawak.

Merdu dicium bunga delima
Sedap dirasa buah mangga
Kuasa undi biar saksama
Keutuhan watan biar terjaga

PROFESOR Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi) Ibu Pejabat Asia Jaringan Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN) di Universiti Sunway.

 

 

 


 

Comments
Search RSS
Only registered users can write comments!
Last Updated on Sunday, 23 April 2023 14:56
 

Your are currently browsing this site with Internet Explorer 6 (IE6).

Your current web browser must be updated to version 7 of Internet Explorer (IE7) to take advantage of all of template's capabilities.

Why should I upgrade to Internet Explorer 7? Microsoft has redesigned Internet Explorer from the ground up, with better security, new capabilities, and a whole new interface. Many changes resulted from the feedback of millions of users who tested prerelease versions of the new browser. The most compelling reason to upgrade is the improved security. The Internet of today is not the Internet of five years ago. There are dangers that simply didn't exist back in 2001, when Internet Explorer 6 was released to the world. Internet Explorer 7 makes surfing the web fundamentally safer by offering greater protection against viruses, spyware, and other online risks.

Get free downloads for Internet Explorer 7, including recommended updates as they become available. To download Internet Explorer 7 in the language of your choice, please visit the Internet Explorer 7 worldwide page.