Monday, 07 October 2024
Kampung Compass Points Current Affairs Angpau RM160,000,000!!!
Angpau RM160,000,000!!! PDF Print E-mail
Friday, 09 February 2024 12:02

 

Angpau RM160,000,000


WONG CHIN HUAT | Sinar Harian | 08 Februari 2024

 

SAYA ingin mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini 'beristirahat' di Penjara Kajang. Gong Xi Fa Cai bermaksud tahniah atas rezeki yang melimpah dan selalu disertai dengan pemberian angpau.

Sungguhpun Najib bukan berketurunan Cina, namun beliau tetap dapat angpau besar berjumlah RM160,000,000 dalam diskaun denda bersama pengurangan tempoh penjara selama enam tahun oleh Lembaga Pengampunan.

Daripada membayar denda RM210,000,000 dan dipenjarakan selama 12 tahun, Najib kini cuma perlu bayar RM50,000,000 dan dipenjarakan enam tahun sahaja.

Berapa besarkah angpau RM160,000,000? Mungkin sukar dibayangkan untuk kebanyakan rakyat Malaysia yang bergaji dalam ribuan sahaja. Kalau seseorang itu makan tiga kali sehari dengan harga menu rahmah RM5 = RM15, maka RM160,000,000 cukup untuk mengisi perut 10,666,667 orang dalam sehari.

Pada 2024, kerajaan dijangka membayar RM700,000,000 untuk 700,000 penerima program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), maka RM160,000,000 cukup menyara 22.8 peratus penerima.
Menurut data kerajaan 2022, Malaysia mempunyai seramai 87,370 pesara kerajaan yang mendapat pencen sebanyak RM1,000 sebulan dan dikategorikan sebagai miskin tegar.

Andaikan mereka menerima pencen selama 25 tahun, jumlahnya adalah sebanyak RM300,000. Maka RM160,000,000 itu cukup untuk menanggung 533 pesara kerajaan miskin tegar selama 25 tahun.

Harga seunit Rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Semenanjung ialah RM35,000, maka RM160,000,000 cukup untuk memberi bumbung kepada 4,571 rumah tangga.

Sekiranya seorang mahasiswa meminjam daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) maksimum sebanyak RM6,180 setahun bagi ijazah sarjana muda (sastera) di universiti awam, tiga tahun berjumlah RM18,540. Maka, RM160,000,000 cukup untuk melahirkan seramai 8,629 graduan sastera.

Saya boleh faham jika Najib, keluarga dan penyokong tegarnya rasa tidak puas hati kerana mereka mahu bekas Perdana Menteri itu diampunkan sepenuhnya dengan dibebaskan dan diberikan angpau RM210,000,000, bukan sekadar RM160,000,000 sahaja.

Sungguhpun Najib tidak mengaku salah dan memohon maaf, kononnya beliau layak mendapat pengampunan kerana sumbangan besarnya terhadap negara.

Apa yang saya tidak faham ialah dakwaan pengampunan Najib akan mengembalikan sokongan orang Melayu kepada UMNO.

Apakah asas orang Melayu di medan tengah menyokong layanan dua darjat di depan undang-undang – orang kebanyakan curi Milo dipenjara 14 bulan, orang kayangan curi berjuta-juta diberi angpau besar? Tidak lihat sambutan kuat untuk Rasuah Busters?

Kalau memang orang Melayu bersimpati dengan pendakwaan memilih dan pengadilan tidak adil terhadap Najib, mengapa mereka tidak berduyun-duyun keluar mengundi UMNO pada Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15) dan pilihan raya negeri (PRN) 2023?

Bukankah undi cara paling baik bagi menunjukkan sokongan kepada Najib? Kalau UMNO menang besar dan menerajui kerajaan, bukankah UMNO dapat membebaskan Najib atas alasan itu kehendak orang ramai?

Apa yang saya tidak faham juga ialah ada pemimpin Pas yang menyokong pengampunan Najib dengan hujah ia lebih bersifat Islam. Bukankah slogan Perikatan Nasional ialah ‘Bersih Stabil’?

Tidak apa, saya tidak faham politik orang Melayu. Sempena perayaan Tahun Baharu Cina, saya menyusun 10 jari untuk memohon maaf kalau ada salah dan silap. Semoga semuanya dilimpahi rezeki bersih!

Berpolitik biar budi dipelihara,
Jangan terikut-ikut macam macai,
Semoga semua sihat sejahtera,
Juga Gong Xi Fa Cai.

*Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway.

 


 

Comments
Search RSS
Only registered users can write comments!
Last Updated on Friday, 09 February 2024 12:10
 

Your are currently browsing this site with Internet Explorer 6 (IE6).

Your current web browser must be updated to version 7 of Internet Explorer (IE7) to take advantage of all of template's capabilities.

Why should I upgrade to Internet Explorer 7? Microsoft has redesigned Internet Explorer from the ground up, with better security, new capabilities, and a whole new interface. Many changes resulted from the feedback of millions of users who tested prerelease versions of the new browser. The most compelling reason to upgrade is the improved security. The Internet of today is not the Internet of five years ago. There are dangers that simply didn't exist back in 2001, when Internet Explorer 6 was released to the world. Internet Explorer 7 makes surfing the web fundamentally safer by offering greater protection against viruses, spyware, and other online risks.

Get free downloads for Internet Explorer 7, including recommended updates as they become available. To download Internet Explorer 7 in the language of your choice, please visit the Internet Explorer 7 worldwide page.