Friday, 29 March 2024
Kampung Compass Points Letters Perjalanan merentasi tembok perkauman
Perjalanan merentasi tembok perkauman PDF Print E-mail
Saturday, 14 November 2009 01:17

path3

Oleh Ron CK Sim

(themalaysiandream.wordpress.com)

 

Ramai yang tentu bersetuju dengan pandangan saya bahawa zaman persekolahan adalah zaman yang penuh dengan nostalgia manis. Saya belajar di sebuah sekolah rendah kebangsaan di Klang, Selangor dari tahun 1984 hingga tahun 1989. Pada masa itu, rakan-rakan saya adalah daripada khalayak berbilang kaum seperti Melayu, Cina, India dan Punjabi. Istilah “Melayu” dan “bukan Melayu” jarang berbangkit sepanjang zaman kanak-kanak saya. Pergaulan saya sesama rakan-rakan memang akrab sekali tidak mengira kaum.


Namun, kita tetap sedar tentang perbezaan antara kita dari aspek-aspek fizikal (warna kulit), bahasa ibunda, kebudayaan dan perayaan kaum dan keagamaan. Itu sahaja perbezaan yang kita sedari. Kita menganggap perbezaan inilah yang menjadikan negara Malaysia yang kita cintai ini unik sekali. Kita berasa bangga dengan wujudnya keharmonian dan perasaan muhibbah antara semua kaum. Kita memang daripada kaum-kaum Melayu, Cina, India dan Punjabi tetapi kita semua anak-anak bangsa Malaysia.


Kita belajar menghormati semua kaum dan budaya masing-masing. Kita suka memberi kad-kad ucapan sebelum Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Hari Deepavali dan Hari Natal dan berasa gembira sekali apabila menerima kad-kad tersebut daripada rakan-rakan terutamanya yang berlainan kaum daripada kita. Kita juga saling menziarahi antara satu sama lain semasa cuti-cuti perayaan dengan menaiki bas, menunggang basikal dan adakalanya berjalan kaki di bawah matahari yang terik.


Saya juga pernah ke rumah rakan-rakan Melayu untuk bermain badminton dan selepas itu disajikan dengan nasi lemak dan kuih-muih oleh ibupada mereka yang amat mesra, walaupun saya seorang berketurunan Cina. Pendek kata, kepada kanak-kanak yang masih muda di sekolah rendah, tidak ada isu-isu perkauman yang boleh menjejaskan hubungan persahabatan baik sesama rakan.


Saya masih ingat seorang rakan karib saya yang berkaum Melayu. Kami berada di kelas yang sama dari darjah empat hingga darjah enam. Dia ini memang seorang yang pandai dan aktif dalam pelbagai bidang seperti pelajaran, badan pengawas, pasukan pengakap, permainan catur dan juga sukan-sukan seperti badminton dan bola tampar. Semua ini walaupun dia bertubuh kerdil, gagap semasa bertutur dan ada juga ‘habit’ menggigit kuku jarinya!


Rakan karib Melayu saya ini seorang yang bermoral dan berhemah tinggi, adil dan ‘righteous’, walaupun hanya pada usia yang mentah. Dia berpendapat “hak-hak istimewa orang Melayu” adalah tidak patut kerana ia hanya akan menjadikan orang Melayu tidak berusaha bersungguh-sungguh dan tidak dapat berdiri dengan kaki sendiri. Saya tidak pasti adakah pendapat dia pada usia mentah 11-12 tahun masih sama pada hari ini, sesudah 20 tahun berlepas.


Zaman sekolah menengah juga sangat bermakna bagi saya apabila diimbas kembali. Tetapi pada ketika itulah saya mula berasa adanya pengasingan kaum atau ‘racial segregation’ yang tidak formal. Bukannya hubungan sosial antara rakan-rakan berbilang kaum yang diselubungi isu-isu perkauman tetapi berdasarkan komposisi kaum untuk kebanyakan badan-badan beruniform, persatuan-persatuan dan kelab-kelab di sekolah.


Sebagai contohnya, pasukan pengakap darat yang saya sertai rata-rata semua ahlinya berkaum Cina. Ada juga seorang-dua Melayu dan India yang menyertai pasukan pengakap ini tetapi mereka tidak kekal lama. Pasukan pengakap laut juga sama kesnya – rata-rata semua ahlinya berkaum Cina. Ahli-ahli Pasukan Pancaragam dan Pasukan Kadet pula rata-ratanya berkaum Melayu. Hanya keahlian Persatuan Bulan Sabit Merah sahaja yang boleh dikatakan berbilang kaum. Pengasingan kaum yang ketara juga merupakan hakikat dalam majoriti persatuan-persatuan, kelab-kelab dan sukan-sukan di mana pasti ada satu kaum yang tersangat dominan.


Saya masih ingat tentang satu kem ketua patrol pengakap peringkat negeri Selangor yang saya sertai semasa berada di tingkatan satu. Sebelum kem tersebut, saya bertanggapan bahawa hanya pelajar Cina sahaja yang berminat menyertai pergerakan pengakap kerana inilah hakikatnya di sekolah saya.


Tetapi, saya agak terkejut apabila anggota-anggota patrol saya di kem tersebut yang datang dari pelbagai daerah di Selangor semuanya berkaum Melayu. Mereka semua pula mempunyai tanggapan bahawa hanya pelajar Melayu sahaja yang berminat menyertai pergerakan pengakap kerana menurut mereka, tiada seorang pelajar Cina atau India pun yang menyertai pasukan pengakap di sekolah-sekolah mereka! Walaupun saya seorang sahaja yang bukan Melayu dalam patrol itu, abang-abang pengakap Melayu ini sangat mengambil berat tentang saya sepanjang kem yang berlangsung selama tiga hari, dua malam ini.


Saya mula berpendapat bahawa pihak pentadbiran sekolah khususnya dan pihak kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan amnya memang menyedari hakikat pengasingan kaum sebegini berlaku di banyak sekolah menengah kebangsaan – nampaknya, ‘sekolah kebangsaan’ hanya pada nama sahaja!

Adakah ini yang dikatakan dasar kerajaan pemerintah BN yang mengamalkan dasar “divide and rule” yang juga diamalkan oleh penjajah British sebelum negara kita Merdeka? Saya mula menabur perasaan syakwasangka (benar atau tidak saya tidak pasti) bahawa kerajaan pemerintah BN memang tidak kisah – malah mungkin inilah polisi perkauman sempit mereka supaya rakyat Malaysia yang berbilang kaum sentiasa hidup dan bergaul sesama kaum mereka sendiri.


Selepas tamatnya tingkatan tiga dan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) 1992, saya meninggalkan sekolah di Klang ini dan melanjutkan pelajaran menengah atas saya di sebuah lagi sekolah menengah kebangsaan di Ipoh, yang pada asalnya merupakan sekolah mubaligh Kristian. Rakan karib Melayu yang saya ceritakan di awal rencana ini juga meninggalkan sekolah di Klang untuk melanjutkan pelajaran di sebuah kolej berasrama penuh terkemuka khas untuk pelajar Melayu, iaitu Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).


Sepanjang dua tahun tersebut, kami berutus surat beberapa kali dalam bahasa Melayu dan senantiasa bertanya khabar tentang sekolah, rakan-rakan dan persekitaran masing-masing yang baru. Saya masih menyimpan surat-surat tersebut sehingga ke hari ini. Namun, selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 1994, secara tidak disedari kami berdua telah ‘lost contact’ dan saya berasa kesal. 15 tahun sudah berlalu dan diharapkan rakan karib saya ini dapat membaca rencana ini dan menghubungi saya melalui blog ini.


Semasa berada di tingkatan empat dan lima, saya ada menyertai beberapa aktiviti kem dan jelajah anjuran Program Rakan Muda dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri. Dalam satu kem “Eksplorasi Selangor-Perak” tahun 1994, saya mengenali seorang peserta perempuan Melayu yang agak comel juga. Dia seorang yang mesra dan selalu sahaja berkata “Alright…”.


Persahabatan kami berlanjutan selama 2-3 tahun selepas eksplorasi ini. Semasa Hari Raya Aidilfitri tahun 1995, saya bersama seorang rakan (yang juga menyertai eksplorasi yang sama) mengunjungi rumah terbuka rakan Melayu ini di Kampung Kuantan, Klang. Kami juga berutus kad-kad ucapan sempena perayaan dan hari jadi masing-masing, dan kad-kad ini masih saya simpan sehingga ke hari ini.


Tembok perkauman menjadi semakin ketara di kampus universiti-universiti tempatan. Sistem kuota kemasukan universiti yang ada menyebabkan bilangan pelajar Melayu jauh melebihi pelajar bukan Melayu, walaupun memang menjadi hakikatnya bahawa prestasi atau ’standard’ pelajar Melayu agak jauh di belakang. Pelajar bukan Melayu merasakan sistem kuota dalam pendidikan tinggi negara adalah tidak adil dan tidak selari dengan prinsip meritokrasi yang universal.


Jawatan-jawatan Exco tertinggi dalam Majlis-majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) pula hampir didominasikan sepenuhnya oleh pelajar Melayu kerana rata-rata pelajar akan membuang undi mengikut warna kulit dan bukannya berdasarkan latar belakang dan keupayaan kepimpinan seseorang individu. Calon-calon Cina dan India yang beraspirasi perlu berkempen sesama kaum mereka sendiri dengan kenyataan seperti “kamu semua perlu mengundi saya supaya akan ada ‘Chinese/Indian representation’ dalam MPM”. “Persatuan-persatuan” untuk pelajar Cina dan pelajar India pula perlu menjalankan aktiviti-aktiviti mereka secara ’underground’.


Beginilah terpendamnya perasaan tidak puas hati dalam sanubari kebanyakan pelajar bukan Melayu di universiti-universiti tempatan. Disebabkan sentimen sebeginilah pergaulan antara kaum hanya berkisarkan “hi and bye” dan sembang kosong sahaja. Tidak banyak pergaulan berteraskan intelektual dan sosial yang dapat memupuk semangat perpaduan dan setia kawan yang berkekalan.


Setelah berakhirnya zaman menara gading, saya bekerja di Singapura selama lebih kurang 6 tahun. Pergaulan merentasi tembok perkauman berlanjutan dengan ramai juga rakan kerja yang berbangsa Melayu dan India di syarikat penerbangan di mana saya berkhidmat. Saya suka bertutur dalam bahasa Melayu dengan rakan-rakan Melayu ini bukan sahaja supaya bahasa Melayu saya tidak karat, tetapi juga kerana saya akan berasa lebih mesra dengan mereka.


Sepanjang masa saya di Singapura, saya pernah menyewa bilik daripada dua keluarga Melayu, satu di Jurong dan satu lagi di Eunos, dan satu keluarga India di Tampines. Semua keluarga ini sangat mesra dan baik dengan saya walaupun saya berkaum Cina. Mereka, terutama dua keluarga Melayu ini, sering mengajak saya makan bersama-sama keluarga mereka – nasi lemak dan rendang ayam memang merupakan makanan ‘favourite’ saya sejak kecil lagi. Keluarga Melayu di Jurong ini begitu baik sehingga ada sekali menghantar saya dengan keretanya ke Johor Bahru untuk menaiki bas ekspres balik ke Klang! Selepas saya berpindah, saya juga diundang untuk menghadiri majlis bersanding anak perempuannya.


Walaupun saya sekarang jarang bergaul dengan orang Melayu kerana sedang berada di luar negara, apa yang pasti beberapa persahabatan dengan rakan-rakan Melayu yang pernah saya alami merupakan detik-detik kenangan manis yang saya rindungi. Harapan saya adalah supaya semua rakyat Malaysia berbilang kaum boleh bergaul merentasi tembok perkauman dan hidup dalam suasana harmoni sepanjang zaman.


Semoga harapan saya tidak tinggal hanya harapan semata-mata.

Comments
Search RSS
Only registered users can write comments!
 

Your are currently browsing this site with Internet Explorer 6 (IE6).

Your current web browser must be updated to version 7 of Internet Explorer (IE7) to take advantage of all of template's capabilities.

Why should I upgrade to Internet Explorer 7? Microsoft has redesigned Internet Explorer from the ground up, with better security, new capabilities, and a whole new interface. Many changes resulted from the feedback of millions of users who tested prerelease versions of the new browser. The most compelling reason to upgrade is the improved security. The Internet of today is not the Internet of five years ago. There are dangers that simply didn't exist back in 2001, when Internet Explorer 6 was released to the world. Internet Explorer 7 makes surfing the web fundamentally safer by offering greater protection against viruses, spyware, and other online risks.

Get free downloads for Internet Explorer 7, including recommended updates as they become available. To download Internet Explorer 7 in the language of your choice, please visit the Internet Explorer 7 worldwide page.