Piagam GBM |
![]() |
![]() |
![]() |
Thursday, 26 January 2012 12:18 |
GABUNGAN BERTINDAK MALAYSIA (GBM) Membina sebuah negara Malaysia yang lebih Unggul
Pendahuluan
Semenjak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957 dan pembentukan Malaysia pada tahun 1963, negara telah berkembang menjadi sebuah negara pelbagai etnik yang dinamik dengan kemajuan di dalam banyak bidang.
Kami menghargai pengorbanan, toleransi dan tolak ansur semua komuniti dalam fasa pengasasan negara hingga membuahkan kestabilan, kemajuan dan keamanan.
Untuk masa hadapan negara hendaklah mengejar cita-cita memajukan insan berlandaskan prinsip-prinsip keamanan, keadilan dan kebebasan yang melangkaui batas-batas ethnik, warna kulit atau kepercayaan.
Di atas nikmat kebebasan asas yang termaktub di dalam perlembagaan, kami bertekad mewujudkan negara yang inklusif berasaskan keadilan.
Iltizam
Kami beriltizam untuk bekerjasama membawa pembaharuan dan pembaikan dalam bidang-bidang berikut:
1. Tadbir Urus Baik Mempromosi pengawasan yang baik, integriti, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam sektor awam dan swasta serta masyarakat madani. Memastikan toleransi sifar terhadap rasuah.
2 . Politik Politik hendaklah dilihat sebagai khidmat untuk negara dan rakyat. Mereka yang berkuasa mestilah dilantik melalui pilihan raya yang bersih, bebas dan adil oleh pengundi yang berpengetahuan. Pemisahan yang tegas di antara parti dan kerajaan hendaklah diamalkan.
3 . Badan Kehakiman Kebebasan penuh badan kehakiman amat penting untuk menjamin keadilan.
4. Federalisme Kuasa politik dan ekonomi dipencarkan supaya negeri-negeri mempunyai autonomi dan kawalan yang lebih ke atas sumber-sumbernya.
5. Kerajaan Tempatan Demokrasi diperluas ke semua peringkat termasuk pilihan raya untuk badan berkuasa tempatan, mukim dan kampung.
6 . Perkhidmatan Awam Perkhidmatan Awam hendaklah diberikan dengan penuh integriti, profesionalisme, dan kecekapan hingga dihormati dan dipercayai oleh rakyat.
7 . Ekonomi Pertumbuhan ekonomi hendaklah mengutamakan rakyat daripada keuntungan dan hendaklah lestari alam sekitar. Pengagihan kekayaan yang saksama untuk membanteras kemiskinan dan menjaga kebajikan rakyat. Sebarang langkah affirmative hendaklah berdasarkan keperluan dan bukan latar belakang ethnik.
8 . Alam Sekitar Berjuang ke arah sebuah masyarakat yang harmoni dengan alam semula jadi di mana terdapat keadilan persekitaran untuk semua. Mempromosikan pembangunan yang adil dari sudut sosial, berdaya saing dari sudut ekonomi dan lestari dari sudut ekologi.
9 . Pendidikan Menegaskan semula keperluan satu sistem pendidikan holistik yang melahirkan rakyat berpengetahuan dan berhemah tinggi. Menjamin pendidikan dalam bahasa ibunda dan memberi layanan yang adil lagi saksama kepada sekolah-sekolah semua aliran bahasa dalam sistem pendidikan nasional.
10. Hak Wanita Menegakkan keadilan gender bersandarkan ketetapan antarabangsa yang memberi persamaan substantif kepada wanita serta peluang dan ruang penglibatan dalam pembangunan negara dengan menghapuskan diskriminasi dan prejudis.
11. Hak Orang Asli Mengiktiraf hak orang asli ke atas tanah dan sumber-sumbernya serta memastikan mereka mengamalkan budaya mereka dengan bebas. 12. Kebudayaan Menghormati kepelbagaian budaya dan menggalakkan interaksi silang budaya.
13. Agama Menegakkan kebebasan untuk mengamalkan agama seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Mempromosi persefahaman dan keharmonian di kalangan penganut agama.
14. Media Meningkatkan kebebasan media di mana ia tidak dibelengu oleh pengawalan berlebihan. Perspektif yang bertanggungjawab dan pelbagai mesti dibenarkan untuk siaran. Kebebasan bersuara dan kebebasan memperoleh dan menyiar maklumat hendaklah dijamin.
15. Perpaduan Nasional Perpaduan nasional hendaklah disandarkan kepada sifat majmuk masyarakat kita dan dibentuk melalui amalan prinsip persamaan di atas semangat muhibbah yang sebenar, saling hormat-menghormati dan saling memahami.
Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) adalah terdiri daripada organisasi seperti berikut:
People’s Green Coalition (PGC) Anak Muda Sarawak (AMS) All Women’s Action Society (AWAM) Partners in Community Organising (Pacos Trust)
|
Last Updated on Thursday, 26 January 2012 12:42 |